Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan
menguatkuasakan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam
Beriodin bermula 30 September ini dengan mewajibkan peniaga menambah iodin pada
garam sebelum boleh dipasarkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pindaan baru itu, semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang perlu ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh negara.
Beliau berkata, Peraturan 285 di bawah Peraturan-Peraturan
Makanan 1985 itu telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuat kuasa
di seluruh negara pada 30 September ini.
“Pindaan peraturan ini adalah susulan daripada hasil dapatan
Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan
48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8 hingga 10 tahun mengalami
masalah kekurangan iodin.
“Selain daripada itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami
masalah goiter. Bagi tinjauan membabitkan wanita hamil dan murid sekolah pula,
pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum,” katanya dalam kenyataan
akhbar di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, kementerian menerusi Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan
penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah ianya dikuatkuasakan.
Kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.
Sumber Kosmo Online
0 Comments